SHANGHAI, 19 Februari- Perbelanjaan cuti Tahun Baharu Cina melonjak melepasi paras pra-pandemik COVID-19. Ia merupakan satu perkara positif dalam perkembangan ekonomi negara itu selepas bergelut dengan kesukaran semasa wabak itu menyerang seluruh dunia.
Perbelanjaan domestik untuk hiburan, makan dan perjalanan melonjak tahun ini, menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Beijing pada Ahad.
Pengembara China membuat 474 juta perjalanan ke seluruh negara semasa cuti. Angka itu meningkat 19 peratus daripada 2019, kata kementerian itu.
Bagi perbelanjaan domestik untuk pelancongan pula mencecah 632.7 bilion yuan ($87.9 bilion). Ia menunjukkan peningkatan 7.7 peratus daripada 2019.
Pasaran China meningkat pada pembukaan pada Isnin selepas cuti, dengan Indeks Komposit Shanghai naik 0.28 peratus dan Indeks Komposit Shenzhen di bursa kedua China menokok 1.16 peratus.- AFP