fb fb fb fb fb

Singapura cadang penggunaan bahan api jet rendah karbon mulai 2026

Pasukan 'Black Eagle' Korea Selatan membuat persembahan semasa pratonton Pertunjukan Udara Singapura/AFP

SINGAPURA, 19 Februari- Hab penerbangan Singapura bercadang syarikat penerbangan yang berlepas dari negara itu menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) mulai 2026 sebagai sebahagian daripada rancangan industri untuk mengurangkan pelepasan karbon, kata Menteri Pengangkutan pada Isnin.

Bagaimanapun pihak berkuasa akan memperkenalkan levi ke atas tiket untuk membantu mengurangkan kos bahan api tersebut, kata Chee Hong Tat dalam sidang media di sini sebelum Pertunjukan Udara Singapura.

Industri penerbangan melepaskan kira-kira dua hingga tiga peratus karbon dioksida global dan ia merupakan satu perkara yang sukar untuk dinyahkarbon.

SAF dihasilkan daripada sumber biojisim dan sisa yang boleh diperbaharui serta boleh merangkumi sehingga 50 peratus campuran bahan api jet.

Ia dilihat sebagai alat utama untuk menyahkarbonkan pelepasan karbon dioksida dalam sektor itu, namun teknologi itu masih di peringkat awal dan pengeluarannya kekal mahal.

"Untuk memulakan penerimaan SAF di Singapura, kami memerlukan penerbangan yang berlepas dari Singapura untuk menggunakan SAF mulai 2026," kata Chee dalam ucapannya.

Syarikat penerbangan dikehendaki menggunakan campuran bahan api jet iaitu satu peratus SAF secara beransur-ansur sebelum meningkat kepada antara tiga dan lima peratus menjelang 2030, tambahnya.

"Ini akan memberikan isyarat permintaan penting kepada pengeluar bahan api dan memberi mereka insentif untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran SAF baharu," kata Chee.

Untuk mengimbangi sebahagian kos, Singapura akan mengutip levi yang berbeza-beza bergantung pada jarak perjalanan dan kelas perjalanan.

Bermula pada 2026, tiket ekonomi dalam penerbangan terus dari Singapura ke London boleh meningkat sebanyak Sg$16.0 ($12.0), menurut Chee.

Sementara itu penumpang dengan tiket premium akan membayar levi yang lebih tinggi.

"Kami akan memantau perkembangan global dan ketersediaan dan penggunaan SAF yang lebih luas dalam beberapa tahun akan datang, sebelum memutuskan sasaran SAF selepas 2026," kata Chee.

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah menetapkan matlamat untuk industri itu mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, dan SAF adalah kunci untuk mencapai sasaran tersebut.

Chee berkata adalah lebih baik untuk mengambil pendekatan secara berperingkat.

Namun sasaran "terlalu bercita-cita tinggi akan menjejaskan hab udara dan ekonomi kita, dan meningkatkan kos perjalanan untuk penumpang," katanya pada sidang kemuncak itu, yang diadakan pada malam sebelum Pertunjukan Udara Singapura, acara penerbangan terbesar di Asia.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI