fb fb fb fb fb

Korea Selatan arah doktor pelatih kembali ke hospital

Kakitangan perubatan dilihat di hospital universiti di Gwangju/AFP

SEOUL, 19 Februari- Korea Selatan mengarahkan doktor pelatih kembali memulakan tugas pada Isnin selepas mereka meletak jawatan beramai-ramai untuk membantah pembaharuan latihan perubatan. Perkara itu menyebabkan kerajaan terpaksa menggunakan pasukan perubatan tentera untuk mengatasi kekurangan itu.

Korea Selatan berkata ia mempunyai satu daripada nisbah doktor kepada penduduk yang paling rendah dalam kalangan negara maju, dan kerajaan berusaha keras untuk menambah bilangan doktor. Ia juga bagi membantu masyarakat di negara itu.

Tetapi doktor telah menyuarakan kebimbangan berikutan rancangan kerajaan untuk menambah bilangan kemasukan ke pusat pengajian perubatan. Perkara itu dikhuatiri akan menjejaskan kualiti penyediaan perkhidmatan.

Namun, menurut pengkritik perkara itu sebenarnya mencetuskan kebimbangan pembaharuan itu boleh menghakis gaji dan status sosial mereka.

Walaupun kerajaan mengancam tindakan undang-undang, ratusan doktor pelatih menyerahkan surat peletakan jawatan mereka dan ditetapkan untuk berhenti bekerja mulai Selasa.

Tetapi kerajaan telah "mengeluarkan perintah penyelenggaraan rawatan untuk semua doktor pelatih", kata Timbalan Menteri Kesihatan Kedua Park Min-soo dalam satu sidang akhbar.

Bawah undang-undang perubatan Korea Selatan, doktor dianggap sebagai pekerja penting dan dilarang daripada melakukan pemberhentian kerja besar-besaran.

"Saya mohon doktor pelatih tidak membelakangkan pesakit," katanya.

Polis turut memberi amaran akan menangkap "penghasut utama" pemberhentian kerja oleh doktor pelatih itu.

Pembaharuan latihan memerlukan peningkatan 65 peratus dalam bilangan pelajar yang diterima masuk ke institusi perubatan, bermula 2025.

Pelan itu mendapat undian dalam kalangan orang ramai berikutan masa menunggu yang lama di hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan Park berkata rancangan itu perlu dalam masyarakat Korea Selatan kerana populasi penduduk dalam kumpulan warga emas semakin bertambah.

"Hospital sudah mengalami kesukaran mencari doktor selain menghadapi masalah mengakses perkhidmatan perubatan," tambah Park.

Lebih 700 doktor pelatih telah meletak jawatan setakat ini, kata kerajaan.

Kementerian Pertahanan berkata ia akan membuka wad kecemasan hospital tentera kepada orang ramai sekiranya doktor pelatih meneruskan mogok itu.

Kementerian itu juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar doktor tentera ke hospital awam untuk membantu menampung kekurangan itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI