JAKARTA, 5 September – Agama tidak seharusnya menjadi ‘alat” atau pencetus konflik. Pendiriaan itu dipersetujui melalui satu perisytiharan yang ditandatangani Imam Besar Masjid Indonesia, Prof. Dr. H. Nasaruddin Umar bersama-sama Pope Francis di Masjid Istiqlal, Jakarta hari ini.
Pope menegaskan dalam ucapannya walaupun terdapat perbezaan agama, "kita semua bersaudara, namun pada akhirnya kita semua menuju kepada Tuhan."
Beliau turut memberi amaran mengenai konflik yang tercetus akibat penyalahgunaan agama sebagai alat senjata, sambil menekankan krisis alam sekitar sebagai ancaman kepada ketamadunan manusia.
Kehadiran Pope menjadi salah satu acara kemuncak dalam lawatan tiga hari beliau ke Indonesia, negara dengan penduduk majoriti Muslim terbesar di dunia.
Sementara itu, Nasaruddin dalam kenyataannya menyebut, perisytiharan itu memberi tumpuan kepada dua mesej utama.
"Pertama, kemanusiaan adalah satu tanpa mengira perbezaan warna. Kedua, bagaimana untuk kita menyelamatkan alam sekitar," katanya.
Ketika bertemu dengan pemimpin enam agama rasmi di Indonesia, Pope Francis menegaskan bahawa tanggungjawab bersama adalah penting untuk menangani krisis besar yang mengancam masa depan manusia.
"Kita memikul tanggungjawab untuk menangani krisis serius yang mengancam masa depan kemanusiaan, termasuk peperangan, konflik, dan krisis alam sekitar, yang menjadi halangan kepada pertumbuhan dan kewujudan bersama masyarakat dunia," ujarnya.
Pada usia 87 tahun, Pope Francis meneruskan lawatan kali ketiganya sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan keharmonian agama selain menangani isu global seperti krisis alam sekitar dan konflik antarabangsa.
Ia sekali gus merupakan permulaan dalam lawatannya ke rantau Asia-Pasifik.
Pope Francis telah beberapa kali melawat negara majoriti Muslim, termasuk lawatan ke Emiriah Arab Bersatu pada 2019, yang mana beliau menandatangani dokumen mengenai persaudaraan manusia bersama Imam Besar Al-Azhar.
Lawatan ini dianggap penting dalam mendorong Indonesia untuk mengatasi isu ketidakfahaman dan diskriminasi terhadap kumpulan minoriti, seperti yang dilaporkan oleh Amnesty International Indonesia merekodkan 123 kes ketidakfahaman sejak Januari 2021 hingga Julai 2024.
Lawatan Pope ke Indonesia adalah lawatan kali ketiga dan pertama sejak John Paul II pada 1989. -AFP