fb fb fb fb fb

Hujan lebat, 273 orang maut di Niger

Foto AFP

NIAMEY, 5 September- Jumlah korban akibat hujan lebat yang melanda Niger sejak Jun lalu meningkat kepada 273 orang.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Niger, kejadian turut menyebabkan 710,767 orang lagi terjejas.

"Setakat 4 September, banjir telah menyebabkan 273 orang terkorban. Daripada jumlah tersebut, 121 daripadanya lemas manakala 152 lagi maut apabila rumah mereka runtuh," menurutnya.

Selain banjir kilat dan tanah runtuh, hujan lebat tersebut juga menyebabkan kemusnahan salah satu masjid tertua di negara yang majoritinya Muslim itu.

"Bangunan ikonik yang dibina daripada lumpur di Zinder, dibina pada pertengahan abad ke-19, telah runtuh dan musnah sepenuhnya semalam selepas hujan lebat," kata penduduk, Ali Mamane.

"Selama ratusan tahun, jemaah datang dari jauh dan dekat untuk solat di sana setiap hari Jumaat dan pada hari-hari perayaan Islam," kata pemimpin agama, El Hadj Mansour Kakale.

"Kami diberitahu bahawa terdapat retakan di beberapa tempat, tetapi kami tidak dapat campur tangan kerana hujan," kata seorang pegawai kepada media tempatan.

Zinder merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat musim hujan di Niger.

Musim hujan kebiasaannya berlaku pada Jun hingga September di negara itu dengan 195 orang terkorban pada 2022.

Terdahulu, saintis telah memberi amaran bahawa perubahan iklim yang didorong oleh pelepasan bahan api fosil menjadikan insiden seperti banjir lebih kerap dan lama. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM