DUBAI, 3 Disember- Pope Francis menggesa para pemimpin dunia di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Dubai (COP28) untuk bergerak melangkaui kepentingan nasional dan komited kepada perubahan politik yang diperlukan untuk menangani perubahan iklim.
Dalam ucapannya pada Ahad dalam bahasa Itali yang disiarkan dari kediaman rasminya ke skrin gergasi di Dataran Saint Peter di Rom, Pope merayu "perubahan politik" untuk menangani iklim yang berada di luar kawalan.
"Kita perlu melangkaui kepentingan tertentu, model masa lalu, dan menerima visi bersama-sama," kata Francis dalam satu kenyataan bertulis yang dibacakan pembantunya.
Lelaki berusia 86 tahun itu sedang pulih daripada jangkitan paru-paru yang menyebabkan dia sukar bernafas, dan membatalkan perjalanannya ke sidang kemuncak iklim PBB yang dihoskan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bagaimanapun beliau mengikuti perbahasan COP28 dengan teliti.
Francis menggesa negara-negara yang berunding di Dubai untuk komited untuk mencapai "kesepakatan" untuk menangani masalah iklim dunia.
Pope berkata dunia harus berhenti membakar arang batu, minyak dan gas yang menyumbang kepada pencemaran gas rumah hijau pemanasan global.- AFP