MANILA, 4 Disember- Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud mengegar pantai selatan Filipina awal hari ini yang direkodkan sebagai gempa terbaharu dalam beberapa siri gegaran kuat di kawasan itu.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa terbabit berlaku pada kedalaman 30 kilometer (km), kira-kira 72 km timur laut bandar Hinatuan di pulau Mindanao sekitar sebelum pukul 4.00 pagi waktu tempatan.
Ia direkodkan sebagai gempa kuat yang ketiga melanda kawasan itu selepas gempa berukuran 6.6 magnitud berlaku semalam dan gempa 7.6 magnitud pada Sabtu lalu.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat gempa bumi pada Sabtu lalu yang turut mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau Pasifik.
Ia diikuti dengan beberapa siri gegaran susulan dengan magnitud melebihi 6.0 hingga Ahad, menurut USGS.
Gegaran baru-baru ini berlaku kira-kira dua minggu selepas gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda Mindanao, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang.
Gempa bumi adalah kejadian harian di Filipina yang terletak di sepanjang "Ring of Fire" Pasifik, sebuah arka aktiviti seismik dan gunung berapi yang kuat, terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik. -AFP