BANGKOK, 23 Disember - Empat warga Myanmar yang ditahan di Bangkok pada Selasa bersama 10 dron kargo berkapasiti berat, dipercayai cuba diseludup ke negara asal mereka, menurut polis Thailand.
Timbalan Ketua Polis Thailand, Mejar Jeneral Prasong Anmanee berkata keempat-empat suspek ditahan selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada sebuah hotel di pinggir Bangkok tempat mereka menginap.
Beliau berkata mereka mendaftar masuk ke hotel itu pada Ahad dan menerima beberapa kotak besar daripada sebuah syarikat kurier tempatan pada Isnin.
“Hasil pemeriksaan mendapati kandungan kotak itu adalah dron dan kesemua mereka tidak mempunyai lesen atau dokumen berkaitan,” katanya.
Menurut Prasong, suspek mendakwa mereka diarahkan membawa dron berkenaan ke Myanmar dan merancang mengeluarkannya dari Thailand dalam bentuk berasingan untuk diserahkan kepada pihak atasan mereka di negara itu.
Keempat-empat individu itu ditahan sebelum dihantar pulang selepas visa mereka dibatalkan atas kesalahan imigresen.
Dron tanpa pemandu (UAV) berkenaan, yang dikeluarkan oleh syarikat China, DJI, berkeupayaan membawa muatan sehingga 30 kilogram dipercayai akan digunakan oleh pihak ketenteraan atau kumpulan pemberontak di Myanmar.
Penggunaan dron oleh tentera Myanmar dan kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahannya meningkat ketara sepanjang hampir lima tahun konflik saudara di negara itu, apabila kedua-dua pihak berusaha mendapatkan kelebihan strategik.
Menurut laporan yang dikeluarkan tahun ini oleh kumpulan pemantau konflik ACLED, Myanmar berada di kedudukan ketiga dunia selepas Ukraine dan Rusia dari segi jumlah operasi dron yang direkodkan.-AFP