BANGKOK, 23 Disember -Thailand menolak permintaan Kemboja supaya rundingan dua hala diadakan di negara berkecuali, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pertemuan yang dirancang bagi merundingkan penamatan pertempuran berdarah di sempadan kedua-dua negara.
Kedua-dua negara pada Isnin bersetuju untuk merundingkan terma gencatan senjata minggu ini.
Kemboja sebelum ini mencadangkan Kuala Lumpur sebagai lokasi rundingan atas faktor keselamatan, namun Kementerian Pertahanan Thailand memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) tetap akan diadakan di Wilayah Chanthaburi bermula Rabu seperti dirancang.
“Kami menjamin Chanthaburi selamat. Wilayah ini merupakan lokasi asal yang dirancang untuk penganjuran GBC, bahkan sebelum pertempuran bermula,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, kepada media.
Beliau berkata mesyuarat dijadual berlangsung sehingga Sabtu, sambil menegaskan pelaksanaannya bergantung kepada kesediaan Kemboja.
Jurucakap kerajaan Kemboja pula memaklumkan beliau belum menerima maklumat terkini mengenai lokasi mesyuarat tersebut.
Amerika Syarikat, China dan Malaysia sebelum ini menjadi perantara gencatan senjata bagi menamatkan pusingan pertempuran tersebut, namun ia tidak bertahan lama.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow pada Isnin mengumumkan rancangan rundingan itu selepas mesyuarat krisis di Kuala Lumpur bersama rakan sejawat ASEAN, termasuk Kemboja.
Namun, dalam sepucuk surat kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha, meminta agar mesyuarat itu diadakan di Kuala Lumpur atas faktor keselamatan.
“Disebabkan pertempuran yang masih berterusan di sepanjang sempadan, mesyuarat ini wajar diadakan di lokasi yang selamat dan berkecuali,” menurut surat berkenaan.
Konflik sempadan yang berlarutan itu kembali memuncak bulan ini, memusnahkan gencatan senjata terdahulu, mengorbankan lebih 40 nyawa serta memaksa lebih 900,000 penduduk di kedua-dua pihak berpindah, menurut pegawai.
Pertikaian itu berpunca daripada isu penandaan sempadan era penjajahan sepanjang kira-kira 800 kilometer, termasuk beberapa tapak kuil purba di kawasan sempadan.-AFP