KUWAIT, 23 Disember - Kuwait telah menandatangani perjanjian bernilai AS$4.1 bilion dengan China untuk pembinaan pelabuhan utama, ketika negara kaya minyak itu berusaha memperkasakan ekonominya menerusi perdagangan global.
Biro Audit Negeri memaklumkan, kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan untuk projek Pelabuhan Mubarak Al-Kabeer itu akan menelan belanja 1.28 bilion dinar Kuwait (AS$4.164 bilion).
Majlis menandatangani kontrak kejuruteraan untuk pembinaan Pelabuhan Mubarak Al-Kabeer di pulau Boubyan itu dihadiri oleh Perdana Menteri Sheikh Ahmad Al-Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah.
Menurut Sheikh Ahmad Al-Abdullah, projek utama tersebut akan meningkatkan Kuwait dalam perdagangan serantau dan antarabangsa serta rantaian bekalan global.
Pemangku Duta Besar China di Kuwait, Liu Xiang pula berkata perjanjian itu merupakan penyertaan dalam inisiatif Jalur dan Laluan.
Pada tahun 2023, Kuwait telah menandatangani tujuh memorandum persefahaman dengan China berhubung projek termasuk Pelabuhan Mubarak al-Kabeer, perumahan, rawatan air dan tenaga boleh baharu.
China telah memberi tumpuan kepada Asia Barat sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan, sebuah projek infrastruktur global luas yang dibangunkan sejak sedekad lalu di bawah Presiden Xi Jinping. - AFP