DHAKA, 1 Ogos- Berjuta-juta penduduk Bangladesh kembali menggunakan media sosial minggu ini selepas penutupan internet di seluruh negara itu, berikutan tindakan pantas yang dilakukan oleh polis.
Sekurang-kurangnya 206 individu terbunuh bulan lalu yang dicetuskan oleh demonstrasi pelajar menentang peraturan pengambilan perkhidmatan awam.
Pemerhati dan beberapa pegawai polis antara yang maut tetapi kebanyakannya adalah penunjuk perasaan akibat terkena tembakan polis, kata hospital kepada AFP.
Kumpulan hak asasi manusia dan Kesatuan Eropah (EU) mengecam tindakan berkenaan da ia disifatkan kekerasan berlebihan.
Sementara itu rakaman pertempuran antara pasukan keselamatan dan orang ramai yang disiarkan dalam berita dan media tidak menyeluruh berikutan rangkaian internet mudah alih nasional disekat selama 11 hari.
Walaupun pergolakan telah reda, beberapa video yang disiarkan menerusi media sosial menunjukkan polis menembak penunjuk perasaan dan mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan Hasina.
"Macam mana polis bunuh adik beradik kita macam ni?" kata pengguna media sosial. Dia meninggalkan komen menerusi siaran klip video pendek yang memaparkan seorang pegawai polis menembak seorang lelaki muda yang cedera manakala seorang lagi cuba menyeretnya di tempat kejadian.
Bagaimanapun menerusi pemerhatian AFP, rakaman itu disyaki berlaku di Jatrabari, sebuah kawasan yang sibuk di ibu kota Dhaka. Tiga saksi turut berpendapat lokasi berkenaan adalah di Jatrabari.
Kesemua saksi yang enggan dikenali itu tidak mahu namanya disiarkan berikutan kerisauan mereka dikenakan hukuman.
Insiden itu berlaku pada 20 Julai lalu, beberapa jam selepas kerajaan Hasina mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara dan mengerahkan tentera untuk memulihkan keadaan berikutan tunjuk perasaan yang berlaku.
Seorang saksi berkata, lelaki yang cedera dalam video itu ialah Imam Hossain Taim, 18 tahun yang diserang anggota polis. Imam Hossain Taim sempat menafikan bahawa dia tidak terlibat dalam protes berkenaan sebelum dia ditembak.
"Dia (Imam Hossain Taim) jatuh di atas tanah dan cuba merangkak untuk melarikan diri. Ketika kejadian dua lagi lelaki melarikan diri dari tempat berkenaan tetapi seorang lelaki kembali untuk membawa rakannya pergi," tambah saksi itu.
Taim dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah akibat tembakan itu, kata bapanya Moynal Hossain kepada AFP.
"Dia (Imam Hossain Taim) bukan penunjuk perasaan," kata abangnya Tuhin kepada AFP. "Ketika perintah berkurung, dia berada di lokasi kejadian untuk berehat-rehat dengan rakan-rakannya."
Rakaman klip tembakan 60 saat ke atas Taim telah dikongsi ke Facebook, WhatsApp dan platform pemesejan lain.
AFP turut mengesahkan satu lagi video di kawasan kejiranan berdekatan Rampura menunjukkan polis menembak seorang lelaki dari jarak dekat ketika dia berpaut pada bangunan yang sedang dalam pembinaan. Lelaki itu telah melarikan diri ke tempat kejadian, menurut saksi kejadian. Klip itu telah dilihat lebih daripada dua juta kali di Facebook.
"Saya menangis setiap kali menonton video ini. Saya menangis sekarang," tulis seorang pengguna media sosial. "Perkara ini tidak akan berlaku dalam negara bebas."- AFP