fb fb fb fb fb

Polis rusuhan menyembur lada, protes penunjuk perasaan antivaksin

WELLINGTON, 2 Mac- Polis rusuhan bertembung dengan penunjuk perasaan antivaksin di luar Parlimen New Zealand hari ini, sehingga terpaksa menggunakan semburan lada dan menahan puluhan peserta bagi mengakhiri demostrasi yang sudah lama berlangsung.

Ratusan polis berkawal di jalanan dekat ibu negara sebelum subuh lagi, untuk 'membersihkan' kem didirikan penunjuk perasaan sehingga menghalang jalan di sekitar Parlimen selama lebih tiga minggu.

Anggota dilengkapi pelindung rusuhan mara ke arah penunjuk perasaan sambil mengarahkan 'bergerak, bergerak', sambil meruntuhkan khemah dan menunda beberapa kenderaan dari kawasan terbabit.

Polis terpaksa melepaskan semburan lada terhadap penunjuk perasaan yang tegar dan berlaku pertempuran sehingga polis terpaksa mengeluarkan amaran kepada penduduk Wellington dan pekerja pejabat supaya menjauhi kawasan itu.

Menurut pihak polis, mereka melihat beberapa penunjuk perasaan membawa serampang peladang.

"Kami telah melihat taktik (daripada penunjuk perasaan) hari ini termasuk menyembur alat pemadam api di barisan polis, membaling cat, dan kami melihat senjata," kata pesuruhjaya Andrew Coster.

Beliau berkata tiga pegawai cedera ringan dan terdapat 36 tangkapan dilakukan.


(Pihak berkuasa menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada penunjuk perasaan bahawa mereka akan ditangkap kerana menceroboh kawasan Parlimen jika mereka enggan keluar/ REUTERS)

 Tunjuk perasaan di Wellington bermula sebagai satu gerakan menentang mandat vaksin COVID-19.

Ia diinspirasi dari protes sama yang berlangsung di Ottawa, Kanada.

Tunjuk perasaan itu berkembang merangkumi pelbagai rungutan dengan kumpulan sayap kanan menyampaikan slogan antaranya berkisar mesej antikerajaan dan antimedia.

Kemuncak tunjuk perasaan itu menyaksikan sekitar 3,000 peserta berkhemah di luar Parlimen.

Namun, jumlahnya berkurangan sekitar 300 minggu lalu.

Polis turut memberi amaran keadaan kotor dan kem berkenaan menjadi kawasan penyebaran COVID-19, susulan banyak kes dilaporkan dalam kalangan penunjuk perasaan yang kebanyakan tidak memakai pelitup muka.

Terdapat aduan daripada penduduk Wellington bahawa mereka diganggu oleh penunjuk perasaan kerana memakai pelitup muka.

Sementara itu, sekolah dan perniagaan berhampiran kem penunjuk perasaan itu ditutup.

Penunjuk perasaan tidak mengendahkan banyak rayuan daripada pihak polis termasuk Perdana Menteri, Jacinda Ardern, supaya bersurai.

Sebelum ini, polis terpaksa mengambil pendekatan lepas tangan dan mengadakan sekatan jalan raya untuk menghalang perluasan kem penunjuk perasaan itu ketika mereka cuba berunding bagi menamatkan protes secara aman. - AFP



Media Baharu