LONDON, 2 Mac- Pekerja penjagaan kesihatan dan sosial di England tidak lagi perlu menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat pekerjaan mulai bulan ini, maklum kerajaan semalam.
Kerajaan United Kingdom (UK) pada 31 Januari lalu mengumumkan berhasrat membatalkan peraturan yang mewajibkan pengambilan vaksin, tertakluk kepada keputusan rundingan awam.
Keputusan diambil kerana penularan varian Omicron yang berkurangan berbanding varian Delta, selain kadar tinggi vaksinasi populasi di UK.
Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid, yang memberitahu dalam satu kenyataan bertulis berkata, lebih 90,000 pekerja penjagaan kesihatan dan sosial serta orang awam memberi respon terhadap rundingan terbabit.
"Majoriti besar maklum balas yang diterima menyokong pembatalan dengan 90 peratus responden bersetuju bahawa pengambilan vaksinasi COVID-19 sebagai syarat bertugas bagi penjagaan kesihatan dan sosial harus dibatalkan," tambahnya.
Hasilnya, Javid berkata, syarat itu akan dimansuhkan pada 15 Mac ini meskipun beliau mengingatkan bahawa kakitangan barisan hadapan masih ada tanggungjawab profesional untuk menerima suntikan pelalian itu.
Menurutnya, langkah itu turut mendapat sokongan pengawal selia kesihatan profesional.
(Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid/ REUTERS)
UK antara negara paling teruk terjejas dengan penularan COVID-19, menyaksikan lebih 161,000 kematian direkodkan sejak 2020.
Angka kes masih tinggi. Purata kes dalam tujuh hari terakhir merekodkan hampir 232,000 keputusan positif sehari.
Bagaimanapun, 91.5 peratus individu berumur 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Manakala 85.2 peratus menerima dua dos suntikan dan lebih dua pertiga atau 66.5 peratus sudah menerima dos penggalak.
Kadar vaksinasi paling tertinggi adalah dalam kalangan kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan staf penjagaan sosial yang bekerja di rumah kebajikan.
Javid berkata, vaksinasi termasuk antiviral baharu yang akan datang kekal sebagai barisan pertahanan terbaik untuk melawan penularan COVID-19.
Kerajaan memansuhkan kebanyakan sekatan COVID-19 bulan lalu, berdasarkan penilaian masa yang tepat untuk menamatkan sekatan oleh kerajaan terhadap kebebasan awam dan beralih kepada tanggungjawab peribadi.
Tiga negara dalam UK iaitu Scotland, Wales dan Ireland Utara yang bertanggungjawab untuk dasar penjagaan kesihatan turut memansuhkan sekatan di negara masing-masing. - AFP