NEW SOUTH WALES, 2 Mac- Ribuan penduduk diarah berpindah dari bandar yang terjejas banjir di bahagian utara Australia.
Pasukan kecemasan meneruskan usaha menyelamatkan penduduk yang terkandas di atas bumbung rumah dan jambatan.
Menurut Perdana Menteri Negeri New South Wales, Dominic Perrottet, lebih 1,000 usaha menyelamat dilakukan dengan kira-kira 6,000 panggilan bantuan diterima oleh pihak berkuasa.
"40,000 penduduk telah diarah berpindah dengan 300,000 lagi diletakkan di bawah amaran berpindah.
Keadaan mereka yang terjejas banjir sangat menyedihkan," katanya.
Jonathan Howe dari Biro Meteorologi Australia berkata, taburan hujan di negeri New South Wales dan Queensland adalah sangat tinggi.
"Banjir sebegitu tidak pernah berlaku sejak beberapa dekad.
Beberapa laluan air telah pecah, membanjiri bandar dan memaksa penduduk melarikan diri, mencari kawasan yang lebih tinggi," katanya.
Lapan penduduk maut manakala ribuan lagi terpaksa diselamatkan dengan pihak berkuasa memberi amaran lebih banyak kematian akan berlaku.
Di bandar Lismore, sembilan orang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir paling buruk pernah direkodkan itu.
Amaran banjir diaktifkan di berpuluh-puluh sungai di seluruh negeri Queensland dan New South Wales dengan keadaan hujan lebat berterusan. -AFP