fb fb fb fb fb

Polis Peru rampas 1.5 tan kokain, dua sindiket antarabangsa tumpas

Hasil rampasan 1.5 tan kokain di tiga wilayah di Peru/ REUTERS

LIMA, 20 Ogos – Polis Peru merampas dadah jenis kokain seberat 1.5 tan hasil empat operasi di tiga wilayah berbeza, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Ketua Unit Anti-Narkotik, Nilton Santos memaklumkan, operasi tersebut dijalankan pada Januari, Mac, Mei dan Ogos di wilayah Puno, Ayacucho dan Tacna di bahagian tengah negara itu.

Operasi yang berakhir pada 16 Ogos lalu menyaksikan sepuluh individu ditahan, dipercayai ahli kumpulan jenayah terancang Gambito dan Centurion yang aktif sejak awal 2025. Sebahagian besar ahli kumpulan itu telah berjaya diberkas.

Menurut Santos, dadah berkenaan dirancang untuk diseludup ke Eropah melalui Uruguay atau Paraguay selepas melalui Bolivia. Laluan penyeludupan tersebut bermula dari Lembah Sungai Apurimac, Ene dan Mantaro (VRAEM) sebelum menuju ke sempadan Bolivia.

Beliau turut menjelaskan nilai rampasan itu dianggarkan mencecah kira-kira AS$50 juta jika dipasarkan di Sepanyol, dengan harga sekitar AS$32,000 setiap kilogram.

Di Amerika Syarikat, harga purata adalah AS$37,000 sekilogram, menjadikan jumlah keseluruhan bernilai sekitar AS$57 juta.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI