fb fb fb fb fb

Polis lancar pemburuan besar-besaran ke atas suspek kes tembakan

BROOKLYN, 13 April- Pemburuan secara besar-besaran dilancarkan ke atas seorang suspek yang menembak 10 individu di dalam kereta api bawah tanah di New York pada Selasa.

Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD), Keechant Sewell dalam sidang media memaklumkan, insiden tersebut tidak disiasat sebagai tindakan pengganas susulan polis belum menemui sebarang motif berhubung kejadian.

"Lelaki bersenjata itu memakai topeng gas sebaik kereta api tiba di stesen 36th Street sebelum membaling dua bom asap dan melepaskan tembakan ke arah penumpang yang ketakutan.

10 individu ditembak namun kecederaan yang dialami mangsa dikategorikan sebagai tidak mengancam nyawa," katanya.

Tambah beliau, 13 individu lain turut cedera dalam insiden itu selepas mereka cuba keluar dari stesen tersebut atau terhidu bau asap.

Jelas Sewell, identiti suspek yang dikehendaki itu telah dikenal pasti.

"Suspek merupakan seorang lelaki berkulit gelap, memakai jaket oren neon dan baju peluh kelabu berhud," katanya lagi.

(Frank James dikenal pasti sebagai suspek yang dikehendaki dalam insiden tembakan di stesen kereta api bawah tanah Brooklyn / Foto AFP)

Sementara itu, Ketua NYPD, James Essig memaklumkan suspek telah melepaskan 33 das tembakan.

"Polis menemui sepucuk pistol Glock 17 sembilan milimeter, tiga bekas peluru tambahan dan kapak dari tempat kejadian," katanya.

Setakat ini polis masih belum menahan mana-mana individu berhubung kejadian itu.

Salah seorang mangsa, Yav Montano, memberitahu, dia berada di dalam koc kereta api sebelum asap memenuhi segenap ruang dan bunyi tembakan mula kedengaran.

"Pada masa itu saya tidak menyangka ia adalah bunyi tembakan kerana kedengaran seperti bunyi mercun.

Terdapat 40 hingga 50 penumpang di dalam kereta api ketika itu dan mereka mula berkerumun ke arah hadapan, namun pintu koc hadapan terkunci," katanya. - AFP

Media Baharu