fb fb fb fb fb

Polis Korea Selatan serbu pejabat persatuan perubatan

Foto hiasan/AFP

SEOUL, 1 Mac- Polis Korea Selatan menyerbu pejabat Persatuan Perubatan Korea Selatan berikutan mogok yang dilakukan doktor pelatih di negara itu hingga menyebabkan kekurangan doktor di fasiliti kesihatan, kata seorang pegawai kepada AFP.

Hampir 10,000 doktor pelatih kira-kira 80 peratus berhenti kerja minggu lepas. Mereka membantah rancangan kerajaan untuk meningkatkan kemasukan sekolah perubatan secara mendadak bagi mengatasi kekurangan doktor.

Kerajaan telah menetapkan tarikh akhir iaitu pada Khamis untuk mereka menyambung semula kerja yang ditinggalakn atau menghadapi tindakan undang-undang, termasuk penggantungan lesen perubatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Korea Selatan, pada masa ini tiada data rasmi mengenai bilangan doktor yang kembali bertugas selepas tarikh kemasukan untuk bekerja berakhir semalam. Namun agensi berita Korea Selatan Yonhap berkata, kebanyakan doktor yang mogok masih tidak bekerja pada hari ini.

Pemberhentian kerja besar-besaran itu telah menjejaskan hospital dan kerajaan meningkatkan amaran kesihatan ke tahap tertinggi berikutan perkara itu.

Kira-kira separuh daripada pembedahan yang dijadualkan di 15 hospital utama telah dibatalkan sejak minggu lalu, menurut kementerian kesihatan.

Menurut peruntukan undang-undang Korea Selatan, doktor dilarang melakukan mogok.

Awal minggu ini, kerajaan meminta polis menyiasat dalang di sebalik pemberhentian itu.

Polis Seou menyerbu Persatuan Perubatan Korea (KMA) pada Jumaat.

Ia sebagai tindak balas berikutan amaran yang telah dikeluarkan kerajaan Korea Selatan dan melakukan siasatan.

Bagaimanapun KMA menyelar kerajaan kerana mengadakan "taktik intimidasi" dan menuduhnya mengubah negara menjadi "negara totalitarian".

Namun kerajaan Korea Selatan berkata, penambahan bilangan pelajar ke institusi perubatan adalah bagi menangani nisbah doktor kepada penduduk di negara itu. Ia mendesak untuk menerima lebih 2,000 pelajar ke institusi perubatan setiap tahun bermula tahun depan.

Rancangan itu dilihat akan menjejaskan kualiti perkhidmatan dan pendidikan perubatan selain pertambahan bilangan doktor turut akan menjejaskan pendapatan dalam sektor itu.

KMA akan mengadakan perhimpunan di Seoul pada Ahad dan mungkin disertai kira-kira 25,000 peserta.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI