LONDON, 1 Mac – Kebakaran besar di sebuah bangunan kediaman di kawasan kejiranan South Kensington yang mewah di London pada awal pagi Jumaat telah menempatkan 11 orang di hospital dan menyebabkan kira-kira 130 orang dipindahkan, kata pegawai bomba.
Sebanyak 15 jentera bomba dengan kira-kira 100 anggota penyelamat dikerah ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran di sebuah rumah teres yang diubah suai menjadi pangsapuri di Emperor's Gate, barat daya ibu negara Britain, berhampiran dengan Natural History Museum.
Separuh daripada tingkat bawah bangunan lima tingkat itu terbakar ketika mereka tiba, kata Pasukan Bomba London dalam catatan di X.
“Api telah merebak dari tingkat bawah ke tingkat atas dan bumbung. Pihak kami bekerja keras untuk... menghentikannya merebak ke bangunan bersebelahan,” kata Komander Stesen Steve Collins, yang berada di tempat kejadian.
Lima orang diselamatkan menggunakan tangga, dengan kira-kira 130 penduduk dipindahkan dari bangunan berdekatan.
"Kira-kira 11 orang telah dirawat kerana terhidu asap dan dibawa ke hospital," tambah perkhidmatan bomba. — AFP