fb fb fb fb fb

Lebih 30 organisasi berita tandatangani surat, seru perlindungan wartawan di Gaza

Seorang pengamal media menenangkan seorang wanita di luar hospital Al-Aqsa di Deir el-Balah, Gaza /AFP

NEW YORK, 1 Mac- Lebih 30 organisasi berita menandatangani surat terbuka semalam menyatakan solidariti dengan wartawan yang bekerja di Gaza dan menyeru perlindungan dan kebebasan mereka untuk melaporkan.

Surat yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan, ditandatangani oleh agensi berita global AFP, AP dan Reuters, serta media terkemuka lain termasuk New York Times, BBC News dan Haaretz Israel.

"Selama hampir lima bulan, wartawan dan pengamal media di Gaza - kebanyakannya, satu-satunya sumber pelaporan di lapangan dari dalam wilayah Palestin - telah bekerja dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata surat itu.

Ia menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 89 wartawan dan pengamal media di Gaza telah terbunuh dalam perang, menurut CPJ.

“Wartawan adalah orang awam dan pihak berkuasa Israel mesti melindungi wartawan sebagai bukan pejuang mengikut undang-undang antarabangsa.

"Mereka yang bertanggungjawab atas sebarang pelanggaran perlindungan yang telah lama berlaku itu harus bertanggungjawab," menurut surat itu yang turut ditandatangani oleh Persatuan Penyiar Antarabangsa dan Persatuan Akhbar dan Penerbit Berita Dunia (WAN-IFRA).

AFP mempunyai biro dan kakitangan di Gaza selama beberapa dekad.

Sebelum permulaan perang, agensi itu mempunyai biro penuh di Kota Gaza iaitu seramai 10 orang, termasuk wartawan teks, foto dan video serta kakitangan pentadbiran dan teknikal.

Kakitangan itu semuanya dipindahkan bersama keluarga mereka ke selatan Gaza pada awal Oktober apabila tentera Israel mengarahkan penduduk kota Gaza berpindah ke selatan. Pejabat itu kemudiannya rosak akibat serangan Israel.

Beberapa kakitangan masih kekal di selatan Gaza dalam keadaan tidak menentu.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP.

Manakala dalam serangan balas Israel pula, sekurang-kurangnya 30,035 orang maut setakat ini kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI