fb fb fb fb fb

Polis K. Selatan perketat kawalan, menjelang keputusan pemecatan Presiden Yoon

Foto Reuters

SEOUL, 10 Mac- Polis Korea Selatan akan mempertingkat kawalan keselamatan menjelang keputusan Mahkamah Perlembagaan sama ada untuk memecat atau mengembalikan jawatan Presiden Yoon Suk Yeol yang dipecat.

Usaha itu termasuk menutup stesen kereta api bawah tanah dan sekurang-kurangnya sebuah sekolah atas kebimbangan keselamatan.

Nasib politik Yoon tergantung selepas dekri undang-undang daruratnya yang singkat pada 3 Disember lalu menyebabkan beliau dipecat dan menghadapi tuduhan jenayah berasingan atas dakwaan pemberontakan.

Keputusan pemecatan itu dijangka diumumkan seawal minggu ini, dengan penyokong dan penentang Yoon dijangka berhimpun dalam jumlah besar, mencecah puluhan ribu peserta.

“Kami sedang menyediakan pelan keselamatan dengan mengambil kira senario terburuk,” kata Pemangku Pesuruhjaya Jeneral Agensi Polis Kebangsaan, Lee Ho-young kepada pemberita.

Pegawai polis dibenarkan menggunakan semburan lada atau cota sekiranya berlaku kekerasan seperti serangan penyokong Yoon di bangunan mahkamah pada Januari lalu, tambahnya.

Menurut Seoul Metro, pada hari keputusan diumumkan, stesen kereta api bawah tanah berhampiran Mahkamah Perlembagaan akan ditutup dan kereta api mungkin tidak berhenti di stesen lain yang dijangka menjadi lokasi perhimpunan besar.

"Pejabat Pendidikan Metropolitan Seoul turut mengeluarkan surat pada akhir Februari lalu, menasihati enam sekolah berhampiran mahkamah untuk mengambil langkah keselamatan termasuk menutup operasi pada hari keputusan.

"Satu daripada sekolah tersebut telah memutuskan untuk tutup pada hari berkenaan," kata pegawai pejabat pendidikan, Kim Eun-mi.

Setakat ini, ketika sesi perbicaraan mahkamah berlangsung, polis telah mengepung perhimpunan ribuan penyokong Yoon dengan lapisan anggota dan kenderaan keselamatan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM