fb fb fb fb fb

Polis Jerman tahan lelaki Syria, suspek tikam pengunjung festival

Foto: REUTERS

SOLINGEN (Jerman), 25 Ogos- Polis Jerman memaklumkan seorang lelaki warga Syria telah menyerah diri atas pembunuhan tiga orang dan mencederakan lapan yang lain dalam serangan dengan pisau di sebuah pesta jalanan, semalam.

Lelaki itu telah ditahan polis kira-kira 24 jam selepas serangan itu.

Polis dalam satu kenyataan, berkata suspek adalah seorang lelaki Syria berusia 26 tahun telah "menyerah diri kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyiasatan dan mengakui bertanggungjawab atas serangan itu".

Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah asrama untuk pencari suaka pada hari Sabtu, tidak jauh dari tempat serangan itu berlaku, menurut jurucakap polis.

Menteri Dalam Negeri North Rhine-Westphalia, Herbert Reul, berkata polis mempunyai bukti yang mengaitkan lelaki itu dengan serangan pisau itu.

Menurut akhbar Bild dan Spiegel, suspek tiba di Jerman pada Disember 2022 dan mempunyai status perlindungan imigrasi yang sering diberikan kepada mereka yang melarikan diri dari Syria yang dilanda perang.

Akhbar itu melaporkan menurut perkhidmatan keselamatan lelaki itu bukan seorang ekstremis.

"Polis juga menahan seorang remaja berusia 15 tahun yang disyaki gagal melaporkan tindakan jenayah. Saksi-saksi didakwa melihat remaja itu berbincang mengenai serangan itu," kata Markus Caspers, pendakwa raya dari Duesseldorf, yang terletak di barat Solingen.

Serangan secara rawak semalam berlaku ketika ribuan orang berkumpul untuk pesta ulang tahun ke-650 Solingen bandar barat Jerman.

Dua lelaki berusia 56 dan 67 tahun serta seorang wanita berusia 56 tahun terbunuh manakala empat daripada mangsa yang cedera masih berada dalam keadaan kritikal dan menurut polis semua mangsa ditikam di leher.

Jerman berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk serangan ekstremis sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI