fb fb fb fb fb

22 maut dalam kemalangan bas di Pakistan

Semalam, mayat 28 jemaah yang mati dalam kemalangan bas di Iran dikembalikan ke Pakistan/ Foto: X @War_Analyst Photograph

RAWALPINDI, 25 Ogos- Sekurang-kurangnya 22 orang maut apabila bas yang dinaiki terjunam ke dalam gaung di Pakistan hari ini, kata pegawai penyelamat.

Kejadian itu berlaku berhampiran bandar Azad Pattan di sempadan antara wilayah Punjab dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Rescue 1122 di Punjab, Farooq Ahmed berkata seramai 22 maut setakat ini, termasuk 15 lelaki, enam wanita dan seorang kanak-kanak.

Seorang lagi Jurucakap Perkhidmatan Penyelamat, Muhammad Usman Gujjar, memberitahu bahawa maklumat awal menunjukkan sebuah kenderaan jatuh ke dalam gaung.

Kemalangan jalan raya dengan kematian yang tinggi adalah perkara biasa di Pakistan, disebabkan pengabaian langkah keselamatan, latihan pemandu yang kurang baik serta infrastruktur pengangkutan yang uzur.

Semalam, mayat 28 jemaah yang mati dalam kemalangan bas di Iran dikembalikan ke Pakistan.

Menurut TV Iran, bas yang membawa 51 jemaah Pakistan ke Iraq untuk perayaan Arbaeen, salah satu acara terbesar dalam kalendar Syiah, terbalik dan terbakar di hadapan pos pemeriksaan di wilayah Yazd pada malam Selasa.

Ketua Polis Trafik Iran, Teymour Hosseini, memaklumkan kegagalan brek dan jalan yang curam adalah punca kemalangan itu- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI