DHAKA, 25 Ogos- Air sungai di dataran rendah Bangladesh semakin surut selepas beberapa hari banjir akibat hujan lebat berterusan yang mengakibatkan kematian.
Seramai 300,000 penduduk terjejas masih berada di pusat perlindungan kecemasan dan memerlukan bantuan, kata pegawai bencana hari ini.
Banjir besar itu mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang di Bangladesh dan ia memberikan cabaran kepada kerajaan baharu yang mengambil alih tugas awal bulan ini selepas revolusi yang dipimpin oleh kumpulan pelajar.
Menurut Menteri Pengurusan Bencana, Faruk-e-Azam, pasukan penyelamat termasuk gabungan tentera, tentera udara dan tentera laut, membantu mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman dan menyampaikan bantuan yang diperlukan.
"Keadaan banjir semakin pulih apabila air banjir mula surut. Kini kami sedang berusaha memulihkan komunikasi di kawasan yang terjejas supaya kami dapat mengagihkan bantuan makanan.
"Kami juga mengambil langkah supaya penyakit berjangkit tidak merebak," katanya.
Beliau memaklumkan lebih 307,000 orang berada di pusat perlindungan dan lebih 5.2 juta telah terjejas akibat banjir itu.
Ujarnya, ia menambahkan lagi kesengsaraan negara yang masih goyah akibat pergolakan politik selama berminggu-minggu, dengan kemuncaknya setelah penggulingan pemimpin autokratik, Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke India dengan menaiki helikopter.
Kerajaan sementara yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus masih mencari rentaknya, rakyat Bangladesh melakukan sendiri usaha mengumpul danan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas. -AFP