MANILA, 21 Februari- Polis Filipina menahan lebih 450 individu dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat perjudian dalam talian yang didakwa dikendalikan oleh warga China di ibu negara Manila, menurut Suruhanjaya Anti-Jenayah Terancang negara itu.
Hasil siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi sebagai pusat penipuan, menyasarkan mangsa di China dan India melalui skim pertaruhan sukan serta pelaburan. Serbuan yang dilakukan pada Khamis itu menyaksikan seramai 137 warga China ditahan.
"Kami telah menahan kira-kira lima individu warga China yang dipercayai dalang utama," kata ketua suruhanjaya, Gilberto Cruz, kepada AFP pada Jumaat, sambil menambah bahawa mereka berdepan kemungkinan pertuduhan pemerdagangan manusia.
Presiden Ferdinand Marcos Jr. telah mengharamkan pengendali perjudian dalam talian Filipina (POGO) tahun lalu, selepas operasi ini dikaitkan dengan jenayah terancang, termasuk pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan, dan juga pembunuhan.
"Serbuan ini membuktikan bahawa bekas pekerja POGO masih cuba meneruskan aktiviti penipuan mereka walaupun selepas larangan dikuatkuasakan," kata Cruz.
Beliau sebelum ini memaklumkan kepada AFP bahawa kira-kira 21,000 warga China masih menjalankan operasi penipuan berskala kecil di Filipina sejak larangan perjudian dalam talian dikuatkuasakan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebimbangan antarabangsa semakin meningkat berhubung sindiket penipuan dalam talian di Asia, yang sering mengeksploitasi mangsa pemerdagangan manusia untuk mempromosikan pelaburan mata wang kripto palsu dan pelbagai skim penipuan lain.
Presiden Marcos menjadikan isu POGO sebagai salah satu mesej utama dalam kempennya menjelang pilihan raya separuh penggal pada Mei, dengan mendakwa bekas presiden Rodrigo Duterte terlalu berlembut terhadap operasi perjudian dalam talian yang dikaitkan dengan China.
Serbuan Khamis lalu merupakan sebahagian daripada siri tindakan keras terhadap POGO tahun ini, termasuk satu serbuan pada Januari yang menyaksikan sekitar 400 warga asing, kebanyakannya warga China, ditahan di ibu negara.
Laporan oleh United States Institute of Peace, sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, mendapati sindiket penipuan dalam talian mensasarkan jutaan mangsa di seluruh dunia dan menjana pendapatan tahunan sehingga AS$64 bilion pada tahun 2024.-AFP