fb fb fb fb fb

Netanyahu arah operasi ketenteraan intensif di Tebing Barat susulan letupan bas

Perdana Menteri penjajah Israel, Benjamin Netanyahu / REUTERS

JERUSALEM, 21 Februari- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera melaksanakan operasi intensif di Tebing Barat susulan kejadian letupan pada beberapa bas berhampiran Tel Aviv pada Khamis.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Terdahulu, polis Israel memaklumkan berlaku letupan pada tiga buah bas di dua kawasan pinggir bandar Tel Aviv, dengan empat bahan letupan ditemui. Media tempatan melaporkan letupan berlaku ketika bas berada di depot dan dalam keadaan kosong.

Kejadian itu mengingatkan kembali serangan bom terhadap bas yang pernah menjadi ciri utama kebangkitan rakyat Palestin pada era 2000-an, meskipun serangan sedemikian kini jarang berlaku.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel menyatakan pihaknya sedang membantu polis dan agensi perisikan Shin Bet dalam siasatan. Polis turut memaklumkan bahawa mereka sedang giat mencari suspek serta menasihatkan orang ramai agar berwaspada.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas letupan tersebut. Netanyahu dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Ketua Angkatan Tentera, Ketua Shin Bet, serta Pesuruhjaya Polis bagi membincangkan kejadian itu.

Jurucakap polis Israel menyatakan bahawa alat letupan yang digunakan merupakan bahan buatan sendiri dengan pemasa dan pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua pengangkutan awam bagi memastikan tiada bahan letupan lain yang ditanam.

Sebuah video yang disiarkan media tempatan menunjukkan sebuah bas sedang terbakar di depot, manakala satu gambar turut memaparkan keadaan sebuah bas yang rentung.

Tentera Israel memaklumkan operasi menentang keganasan di Tebing Barat akan dipertingkatkan, termasuk sekatan di beberapa kawasan tertentu yang tidak dinyatakan. Dalam tempoh sebulan lalu, tentera Israel telah menjalankan operasi besar-besaran di Tebing Barat dengan alasan memburu kumpulan militan.

Akibatnya, puluhan ribu penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di kem pelarian Tebing Barat, selain menyaksikan banyak rumah dan infrastruktur musnah dalam operasi tersebut.

Kejadian letupan bas itu berlaku dalam situasi gencatan senjata yang masih rapuh di Gaza antara kumpulan pejuang Palestin, Hamas dan Israel selepas 16 bulan peperangan. Pada Khamis, Hamas menyerahkan mayat empat tebusan kepada pihak Israel.

Gencatan senjata itu yang mula dikuatkuasakan pada 19 Januari masih bertahan, meskipun kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran perjanjian.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE