WASHINGTON, 21 Februari- Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah menghapuskan pangkalan data yang menjejaki salah laku pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan.
Laman web National Law Enforcement Accountability Database didapati telah diturunkan sejak Khamis lalu, menurut laporan awal oleh The Washington Post.
Menurut laman web Jabatan Kehakiman, pangkalan data itu tidak lagi aktif dan sedang dihentikan selepas Trump membatalkan perintah eksekutif Joe Biden yang mengarahkannya diwujudkan.
Sehingga September 2024, terdapat 4,790 rekod salah laku pegawai persekutuan yang direkodkan antara 2018 hingga 2023 dalam pangkalan data itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan tahun lalu.
Trump sendiri pernah mencadangkan pembentukan pangkalan data mengenai "kes penggunaan kekerasan berlebihan dalam penguatkuasaan undang-undang" pada Jun 2020 susulan pembunuhan George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang meninggal dunia selepas lehernya ditekan dengan lutut oleh seorang pegawai polis kulit putih di Minneapolis.
Pada Januari lalu, sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal kedua, Trump telah memberi pengampunan kepada dua pegawai polis di Washington yang disabitkan kesalahan membunuh seorang lelaki kulit hitam berusia 20 tahun, Karon Hylton-Brown, pada 2020.
Bagaimanapun, penghapusan pangkalan data persekutuan itu tidak menjejaskan National Decertification Index, iaitu pangkalan data kebangsaan yang menyenaraikan pegawai polis negeri dan tempatan yang telah dilucutkan tauliah atau lesen akibat salah laku, lapor The Washington Post.-REUTERS