fb fb fb fb fb

Tujuh maut akibat letupan sisa peluru di Syria

FOTO AFP

BEIRUT, 22 Februari- Tujuh orang awam termasuk seorang wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam insiden letupan sisa peluru yang tersimpan di dalam sebuah rumah di barat laut Syria, semalam.

Menurut laporan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Letupan tersebut berlaku di wilayah Idlib dan jumlah korban dijangka meningkat, kata SOHR.

Seorang koresponden AFP di lokasi kejadian melaporkan pasukan pertahanan awam sedang berusaha mengalihkan runtuhan serta mengeluarkan mangsa dari rumah yang musnah.

Mohammed Ibrahim, pegawai pertahanan awam di Idlib, berkata pihaknya menerima laporan mengenai satu letupan yang tidak diketahui puncanya di Nayrab dan menemui sisa peluru yang tidak meletup di lokasi kejadian.

Konflik di Syria sejak 2011 telah mengorbankan lebih daripada setengah juta nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Menurut organisasi bukan kerajaan Humanity and Inclusion (HI), lebih sejuta munisi telah dijatuhkan atau dipasang di seluruh Syria sejak konflik bermula dan dianggarkan antara 100,000 hingga 300,000 daripadanya masih belum meletup.

"Ini adalah bencana mutlak," kata Pengarah Program Syria HI, Danila Zizi, sambil memberi amaran bahawa lebih 15 juta orang berisiko menjadi mangsa letupan sisa peluru di negara itu.

Ketika ratusan ribu rakyat Syria mula pulang ke kediaman mereka selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu, HI menegaskan bahawa tindakan segera diperlukan bagi mengurangkan risiko tragedi akibat bahan letupan yang masih tertanam.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE