fb fb fb fb fb

Trump label AP sebagai ‘radikal kiri’ dalam pertikaian nama Teluk Mexico

FOTO HIASAN

WASHINGTON, 21 Februari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Khamis menyifatkan Associated Press (AP) sebagai sebuah organisasi radikal kiri, susulan pertikaian mengenai penggunaan nama Teluk Mexico, yang telah ditukar oleh pentadbirannya kepada "Teluk Amerika".

Dalam bulan pertamanya kembali ke White House, Trump telah menghadkan akses wartawan AP ke Rumah Putih sehingga agensi berita itu mematuhi arahannya untuk menggunakan nama baharu tersebut.

Pentadbiran Trump juga menghalang wartawan AP daripada menaiki pesawat Air Force One serta menghadiri sidang media di Pejabat Oval, dengan alasan bahawa agensi berita berusia 180 tahun itu mengabaikan perubahan nama yang sah.

"Kita ada masalah dengan satu organisasi berita – AP, sebuah organisasi radikal kiri yang melayan kita dengan sangat buruk dan mereka enggan mengiktiraf bahawa Teluk yang dahulunya milik Mexico kini dipanggil Teluk Amerika," kata Trump dalam ucapannya di hadapan Persatuan Gabenor Republikan di Washington pada Khamis.

"Kita sekat mereka daripada semua sidang media sekarang. Saya pasti mereka akan disaman, dan mungkin mereka akan menang. Tak kisah. Ini sesuatu yang kita rasa sangat penting," tambahnya, tanpa memperincikan tindakan undang-undang yang dimaksudkan.

Sebagai salah satu agensi berita utama dunia, AP membekalkan berita kepada akhbar, stesen TV dan radio di seluruh AS.

Dalam kenyataan gaya penulisan bulan lalu, AP menegaskan bahawa "Teluk Mexico telah dikenali dengan nama itu selama lebih 400 tahun" dan menyatakan bahawa perintah eksekutif Trump hanya berkuat kuasa dalam lingkungan Amerika Syarikat sahaja.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE