SEOUL, 21 Februari- Korea Selatan meminta Washington untuk mengecualikannya daripada tarif yang dirancang oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas keluli dan aluminium, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan negara itu pada Jumaat.
Presiden AS, Donald Trump, sejak mengambil alih jawatan pada Januari lalu, telah mengumumkan pelbagai levi ke atas beberapa rakan dagang utama negaranya dengan alasan bahawa langkah tersebut dapat menangani amalan perdagangan tidak adil.
Antara langkah yang diumumkan termasuk tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium yang akan berkuat kuasa mulai 12 Mac.
Beliau juga memberi amaran minggu ini bahawa tarif sekitar 25 peratus akan dikenakan ke atas import kenderaan, serta jumlah yang sama atau lebih tinggi bagi cip semikonduktor dan farmaseutikal.
Korea Selatan, yang merupakan negara asal kepada dua pengeluar cip utama dunia, Samsung dan SK hynix, merupakan pengeksport keluli keempat terbesar ke Amerika Syarikat, tahun lalu.
Industri keluli Korea Selatan telah menghadapi tekanan hebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat lebihan bekalan, terutamanya dari China, serta penurunan permintaan global.
Tarif yang dikenakan AS dijangka memburukkan lagi cabaran tersebut.
Penganalisis turut memberi amaran bahawa sekiranya keluli murah dari China yang disekat daripada pasaran AS mula membanjiri rantau seperti Asia Tenggara dan Eropah, pengeluar keluli Korea Selatan akan menghadapi persaingan harga yang semakin sengit.- AFP