BUENOS AIRES, 16 November - Polis Argentina menahan seorang lelaki di Buenos Aires yang memiliki sejumlah besar senjata vintaj Nazi yang dihiasi dengan simbol Rejim Ketiga Reich dari pemerintahan Adolf Hitler.
Menurut laporan polis persekutuan Argentina, polis merampas lebih daripada 60 senjata api dari rumah lelaki tersebut termasuk 43 senapang yang terukir dengan tanda helang Nazi, 15 pistol, lima pisau bayonet dan sebuah senapang mesin.
"Bendera Nazi, pakaian seragam tentera, topi, topi keledar serta patung kepala Hitler juga turut dirampas oleh pihak berkuasa," menurut laporan tersebut.
Anggota Muzium Holocaust Buenos Aires turut membantu dalam tindakan penguatkuasaan tersebut, yang bertujuan untuk melaksanakan undang-undang antidiskriminasi negara.
Lokasi rumah barang-barang tersebut ditemui terletak di bandar Quilmes, berhampiran pinggir selatan kawasan metropolitan Buenos Aires, ibu negara Argentina.
Polis telah memantau lelaki tersebut selepas dia pergi ke luar negara dan terlibat dalam siasatan yang dimulakan oleh polis persekutuan Bosnia-Herzegovina.
Selepas Perang Dunia Kedua, ramai pegawai Nazi termasuk pengawas kem pembunuhan yang terkenal, Adolf Eichmann, berhijrah ke Argentina untuk mengelak daripada perbicaraan atas jenayah perang.
Tahun lepas, pasukan keselamatan tempatan menyerbu dan menutup sebuah kedai buku di Argentina yang menjual buku tentang Nazisme secara dalam talian.- REUTERS