LIMA, 16 November - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bertemu dengan pemimpin Jepun dan Korea Selatan pada Jumaat dalam usaha mengukuhkan kemajuan diplomatik, menjelang peralihan kerajaan baharu bawah Donald Trump.
Peralihan itu dibimbangi, akan mengubah sekutu dan kerjasama sedia ada di seluruh dunia.
Perjumpaan itu berlangsung ketika hubungan AS dengan Beijing dijangka menjadi lebih tegang selepas pelantikan Donald Trump pada 20 Januari, berikutan janjinya untuk menaikkan tarif dengan drastik sekali gus boleh merencatkan ekonomi China.
Selain itu, ia merangkumi isu kerjasama ketenteraan Korea Utara (DPRK) ke Rusia untuk menyokong perang di Ukraine serta program senjata nuklear Korea Utara dan prospek yang semakin suram untuk penyelesaian damai terhadap konflik yang berlarutan dengan Korea Selatan.
"Jepun, Republik Korea dan AS dengan tegas mengutuk keputusan pemimpin DPRK dan Rusia untuk secara berbahaya meluaskan perang pencerobohan Rusia di Ukraine," kata kenyataan bersama itu, merujuk kepada Korea Selatan dan Korea Utara.
Perjumpaan itu diadakan sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru dan membawa Biden, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang baru memegang jawatan pada Oktober, bersama-sama buat kali pertama secara peribadi.
"Selepas pertemuan itu, ketiga-tiga negara mengumumkan penubuhan Sekretariat Trilateral yang bertujuan untuk memformalkan hubungan tersebut dan memastikan ia tidak hanya "sebuah siri pertemuan," kata penasihat keselamatan negara, Jake Sullivan kepada wartawan yang turut serta dalam penerbangan bersama Biden di Air Force One pada Khamis.
Kerjasama antara Korea Selatan dan Jepun dianggap sebagai salah satu pencapaian diplomatik Biden dalam tempoh empat tahun perkhidmatannya sebagai presiden yang akan berakhir.
Kedua-dua negara mempunyai sejarah panjang ketegangan antara satu sama lain, ekoran pemerintahan kolonial Jepun yang kejam ke atas Korea dari tahun 1910 hingga 1945.
Biden melihat hubungan rapat antara ketiga-tiga negara sebagai pelindung terhadap tindakan agresif China di rantau Asia, namun pandangan itu ditolak Beijing.
Yoon bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping pada Jumaat, dengan Ishiba dan Biden juga dijadualkan mengadakan pertemuan mereka sendiri dengan Xi semasa sidang kemuncak APEC tersebut.
"Saya benar-benar percaya kerjasama negara-negara kita akan menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik untuk bertahun-tahun akan datang," kata Biden ketika pertemuan tiga hala itu bermula.
Ketiga-tiga negara juga komited untuk melanjutkan kerjasama dengan Filipina dalam pelbagai sektor kritikal termasuk pelabuhan, tenaga dan pengangkutan.
Komitmen Trump terhadap kerja trilateral itu menjadi persoalan terbuka bagi negara rantau Asia berikutan pendekatan "America First" beliau.
Ini menimbulkan kecurigaan terhadap sokongan kewangan dan aspek ketenteraan AS untuk sekutu tradisional termasuk lawatan diplomatik beliau ke Korea Utara semasa penggal pertama beliau.- REUTERS