fb fb fb fb fb

PM Sementara Syria seru kestabilan dan ketenangan

Perdana Menteri Sementara Syria, Mohammad al-Bashir, mempengerusikan mesyuarat kabinet baharu di Damsyik/ AFP

DAMASCUS, 11 Disember- Kini tiba masanya untuk rakyat Syria menikmati kestabilan dan ketenangan, kata Perdana Menteri Sementara, Mohammad al-Bashir menerusi wawancara bersama stesen penyiaran Al-Jazeera.

Al-Bashir dipilih sebagai Perdana Menteri oleh kumpulan penentang kerajaan, dua hari selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan.

Kumpulan penentang kerajaan melantik Mohammad al-Bashir sebagai Ketua Kerajaan Sementara untuk mentadbir negara sehingga 1 Mac tahun depan.

Pemilihan al-Bashir diputuskan, susulan pertemuan antara pemimpin Hayat Tahrir al-Sham di wilayah Idlib itu dengan anggota kabinet al-Assad.

Sementara itu, Abu Mohammed al-Jolani, pemimpin yang mengetuai serangan penentang kerajaan, telah mengumumkan perbincangan mengenai peralihan kuasa dan berikrar untuk mengejar bekas pegawai kanan yang bertanggungjawab atas penyeksaan dan jenayah perang.

Selasa lalu, Jolani berusaha meredakan kebimbangan mengenai bagaimana Syria akan diperintah, dengan memberitahu penyiar British Sky News bahawa Syria sudah "letih" akibat peperangan dan tidak akan kembali ke kancah peperangan.

"Syria akan dibina semula... Negara ini bergerak ke arah pembangunan dan pemulihan. Ia menuju ke arah kestabilan," katanya.

"Rakyat sudah letih dengan perang. Jadi negara ini tidak bersedia untuk satu lagi peperangan dan tidak akan terlibat dalam satu lagi peperangan", katanya.

Kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad yang memerintah Syria lebih 50 tahun, tumbang sepenuhnya pada Ahad lalu, selepas kumpulan penentang kerajaan Syria melancarkan serangan mengejut, iaitu 13 tahun selepas protes antikerajaan sehingga mencetuskan perang saudara dan mengakibatkan ratusan ribu orang terkorban.- AFP

ROSLINA BINTI DIN