fb fb fb fb fb

PM Syria setuju serah kuasa kepada SSG

Foto Fail/Reuters

DAMSYIK, 10 Disember- Perdana Menteri Syria, Mohammad Ghazi Jalali mengumumkan bahawa beliau bersetuju menyerahkan kuasa kepada "Kerajaan Pembebasan Syria" (SSG).

Ketua SSG di Idlib di bawah kawalan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Muhammad al-Bashir telah dilantik untuk membentuk kerajaan baharu Syria.

Kerajaan itu mempunyai kuasa pentadbiran dan perkhidmatan di kawasan yang dikuasai HTS.

Kumpulan penentang kerajaan diketuai HTS melancarkan serangan besar-besaran sejak 27 November dan berjaya menguasai ibu kota Damsyik dalam masa 12 hari.

Menteri Luar Syria, Bassam Sabbagh berkata telah mengemukakan inisiatif kepada bekas Presiden Bashar al-Assad untuk memulakan proses politik di Syria.

Duta Syria di Rusia mengesahkan pada Isnin bahawa Assad kini berada di Moscow, tetapi menafikan ada sebarang hubungan dengan beliau.

Perwakilan tetap Rusia ke organisasi antarabangsa, Mikhail Ulyanov, turut mengesahkan bahawa Assad dan keluarganya berada di Moscow.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata Turkiye bersedia untuk menyokong rakyat Syria dalam proses pemulihan negara tersebut.

Dalam pada itu, kekacauan di Damsyik, ibu kota Syria, berjaya dikawal selepas penentang mengambil alih pemerintahan kerajaan.

Sebahagian penduduk meraikan kejayaan tersebut, sementara yang lain tetap berkurung di rumah kerana takut untuk keluar.

Pasukan penentang kerajaan sebelum ini mengisytiharkan perintah berkurung di Damsyik selepas berjaya menguasai ibu kota dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Presiden Bashar al-Assad.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM