fb fb fb fb fb

PM Greece dakwa tragedi kereta api punca kecuaian manusia

(Nahas kereta api paling mengerikan dalam sejarah negara kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis/FOTO AFP)

ATHENS, 2 Mac - Faktor kecuaian manusia mungkin menjadi punca kepada nahas membabitkan dua kereta api penumpang dan kargo bertembung di Tempi, berhampiran bandar Larissa, tengah Greece.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis memaklumkan perkara itu melalui dalam satu perutusan yang disiarkan di sebuah televisyen selepas beliau melawat lokasi kejadian.

Malah, beliau menyifatkan insiden itu sebagai `nahas kereta api paling mengerikan dalam sejarah negara’.

Mitsotakis berjanji akan menyiasat insiden itu secara terperinci.

Sekurang-kurangnya 43 maut dan 80 lagi cedera apabila kereta api penumpang membawa lebih 350 orang bertembung dengan sebuah kereta api kargo di Greece. 

Kejadian itu menyebabkan beberapa gerabak kereta api tergelincir dari landasan sehingga memerangkap penumpang di dalamnya.   

Tragedi itu berlaku selepas kereta api penumpang dalam perjalanan dari Athens ke Thessalonoki, bertembung dengan api kargo dari Thessaloniki ke Larissa.

Media melaporkan Menteri Pengangkutan Greece, Kostas Karamanlis meletak jawatan beberapa jam selepas nahas itu berlaku.

Selepas beberapa jam nahas itu berlaku, ketua setesen bandar Larissa ditahan dan lelaki berusia 59 tahun itu didakwa atas pertuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

Susulan nahas kereta api itu, kerajaan Greece mengisytiharkan tiga hari berkabung.

Sementara itu, jabatan bomba Greece memaklumkan, seramai 57 mangsa masih sedang menerima rawatan di hospital termasuk enam di unit rawatan rapi (ICU). – AFP


Kyriakos Mitsotakis melawat lokasi kejadian nahas kereta api di Lembah Tempi, berhampiran Larissa di Greece/FOTO AFP

Media Baharu