GAZA, 5 Julai - Sekurang-kurangnya 19 rakyat Palestin terbunuh pada awal pagi Sabtu apabila tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara dan serangan artileri di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan.
Di Bandaraya Gaza, serangan artileri Israel menyasarkan kawasan Zarqa di timur, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa yang lain cedera.
Tentera Israel turut mengebom sebuah sekolah mengakibatkan lima rakyat Palestin terkorban - Foto AFP
Lima rakyat Palestin turut terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila tentera Israel mengebom Sekolah Al-Shafi’i di kawasan Asqoula di Zaytoun, tenggara Bandaraya Gaza.
Di tengah Gaza, dron Israel menyerang sebuah rumah di kem pelarian Al-Bureij, membunuh dua orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Dalam serangan berasingan, dua rakyat Palestin terbunuh apabila pesawat perang Israel menyasarkan sebuah rumah di kem Al-Maghazi, dengan mangsa dihantar ke Hospital Al-Aqsa Martyrs.
Serangan paling buruk berlaku di Al-Mawasi, barat Khan Younis - Foto AFP
Serangan paling buruk berlaku di Al-Mawasi, barat Khan Younis apabila tentera Israel menyerang khemah yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal, mengakibatkan tujuh orang terbunuh dan lebih sepuluh yang lain cedera dalam insiden yang digambarkan penduduk sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Di lokasi lain di Khan Younis, seorang bapa dan anak lelaki tunggalnya maut dalam serangan udara di barat bandar itu.
Sejak 7 Oktober 2023, serangan berterusan Israel ke atas Gaza, yang dikecam secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai kempen genosid, telah mengakibatkan lebih 192,000 rakyat Palestin terbunuh dan cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sejak 7 Oktober 2023, lebih 192,000 rakyat Palestin terbunuh dan cedera - Foto AFP
Konflik itu juga telah menyebabkan lebih 10,000 orang hilang, ratusan ribu kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan kebuluran yang meragut nyawa ramai orang awam termasuk puluhan kanak-kanak.
Walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan masyarakat antarabangsa menggesa supaya tindakan ketenteraan dihentikan, Israel terus melancarkan serangan, menyebabkan penderitaan kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza. - BERNAMA