fb fb fb fb fb

Pusat agihan bantuan jadi 'tapak pembunuhan' - PBB

613 kematian direkodkan di pusat agihan dan berhampiran konvoi bantuan GHF - Foto AFP

GENEVA, 5 Julai - Lokasi pengagihan bantuan di Gaza yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) kini dilihat sebagai "tapak pembunuhan".

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), pengagihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat dan Israel itu telah merekodkan 509 kematian antara 27 Mei hingga 27 Jun lalu.

Jurucakap OHCHR, Ravina Shamdasani berkata, lebih 100 orang lagi terbunuh dalam serangan berhampiran konvoi kemanusiaan GHF.

0507 LNR AGIHAN BANTUAN TAPAK PEMBUNUHAN 1GHF mula mengambil alih pengagihan makanan di Gaza pada 27 Mei lalu - Foto AFP

OHCHR bagaimanapun masih belum dapat mengesahkan siapa yang bertanggungjawab terhadap insiden-insiden berkenaan, namun menekankan bahawa tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang datang ke lokasi pengagihan bantuan.

“Setakat 27 Jun, kami telah merekodkan 613 kematian di pusat agihan GHF dan berhampiran konvoi bantuan.

"Mengenai siapa yang bertanggungjawab, kami tahu bahawa tentera Israel telah mengebom dan menembak rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan. Tapi jumlah sebenar dan butiran penuh perlu siasatan lanjut,” kata Shamdasani.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih banyak serangan berlaku selepas 27 Jun.

0507 LNR AGIHAN BANTUAN TAPAK PEMBUNUHAN 3165 NGO menggesa penamatan segera operasi GHF di Gaza - Foto AFP

Menurutnya, data berkenaan diperoleh melalui laporan dalaman OHCHR yang disokong oleh pelbagai sumber seperti Kementerian Kesihatan Palestin, hospital-hospital tempatan, dan keluarga mangsa.

Namun begitu, Shamdasani mengakui bahawa pihaknya mungkin tidak akan pernah mengetahui jumlah sebenar kematian kerana sekatan akses yang ketat ke wilayah Gaza.

Sejak Mac lalu, Israel mengenakan sekatan semula ke atas Gaza dan memulakan operasi ketenteraan besar-besaran, namun susulan tekanan antarabangsa, Israel mula membenarkan sedikit bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza pada akhir Mei.

GHF mula mengambil alih pengagihan makanan di Gaza pada 27 Mei, tetapi telah berdepan kritikan hebat kerana memintas peranan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam penyelarasan bantuan.

0507 LNR AGIHAN BANTUAN TAPAK PEMBUNUHAN 4Tentera Israel tetap menyerang dan membunuh rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan makanan - Foto AFP

Dalam satu laporan bertarikh 27 Jun oleh akhbar Israel Haaretz, beberapa anggota tentera Israel mendedahkan komander mereka telah mengarahkan supaya melepaskan tembakan ke arah orang awam yang menghampiri pusat agihan bantuan walaupun mereka tidak menimbulkan sebarang ancaman keselamatan.

Pada Selasa lalu, lebih 165 organisasi bukan kerajaan (NGO) mengeluarkan kenyataan bersama menggesa penamatan segera operasi GHF.

Kenyataan itu menyifatkan usaha Israel-Amerika melalui GHF, yang kononnya bertujuan menyalurkan bantuan, sebenarnya mencetuskan kekacauan dan keganasan yang telah menyebabkan lebih 500 rakyat Palestin terbunuh dalam hanya beberapa minggu. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK