fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Izmir ragut 3 nyawa

Lebih 600 kebakaran dilaporkan dalam tempoh seminggu di Turkiye - Foto AFP

ISTANBUL, 5 Julai - Seorang lagi pekerja perhutanan yang cedera dalam kebakaran hutan di wilayah barat Izmir, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli, dalam satu kenyataan di platform X hari ini.

Turkiye tidak mengalami gelombang haba teruk seperti di kawasan selatan Eropah, namun pasukan bomba telah berdepan lebih 600 kebakaran dalam tempoh seminggu dengan angin kencang menjadi faktor utama kebakaran merebak.

0507 LNR 3 MAUT KEBAKARAN TURKIYE 3Angin kencang dan cuaca panas menjadi faktor utama kebakaran merebak - Foto AFP

Kebakaran di daerah Odemis, kira-kira 100 kilometer ke timur bandar peranginan Izmir, telah meragut nyawa seorang lelaki berusia 81 tahun dan seorang pekerja perhutanan berusia 39 tahun pada Khamis lalu.

"Seorang lagi pekerja, Ragip Sahin, yang cedera ketika bertugas memadam kebakaran di Odemis dan sedang menerima rawatan di hospital, turut disahkan meninggal dunia," kata Yumakli.

Beliau juga mengesahkan kebakaran di Odemis telah berjaya dikawal pada petang Jumaat, bersama enam lagi kebakaran lain yang kebanyakannya di kawasan barat dan tengah Turkiye.

0507 LNR 3 MAUT KEBAKARAN TURKIYE 1Kebakaran di beberapa kawasan sudah berjaya dikawal - Foto AFP

Bagaimanapun, usaha masih diteruskan untuk mengawal kebakaran di kawasan pesisir selatan Dortyol, wilayah Hatay.

Dalam satu video di X, Datuk Bandar Odemis, Mustafa Turan berkata, kebakaran tersebut telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 5,000 hektar.

“Kebakaran begitu ganas di kawasan ini, tiada apa lagi yang tinggal untuk dibakar. Kira-kira 5,000 hektar kini menjadi abu,” katanya.

0507 LNR 3 MAUT KEBAKARAN TURKIYE 4Kebakaran telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 5,000 hektar - Foto AFP

Pada Isnin lalu, lebih 50,000 orang terpaksa dipindahkan berikutan siri kebakaran yang melanda beberapa kawasan di Turkiye.

Menurut laman web Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), Turkiye telah merekodkan 96 kebakaran hutan setakat tahun ini, yang telah memusnahkan lebih 49,652 hektar kawasan. - AFP

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK