fb fb fb fb fb

PM baharu Sri Lanka bergelut bentuk kerajaan perpaduan

(Ranil Wickremesinghe mengangkat sumpah pada lewat Khamis untuk mengemudi negaranya mengharungi kemerosotan ekonomi terburuk dalam sejarah Sri Lanka/AP)

COLOMBO, 13 Mei - Perdana Menteri baharu Sri Lanka bergelut pada Jumaat untuk membentuk kerajaan perpaduan dan menghalang kejatuhan ekonomi selepas seorang tokoh pembangkang kanan enggan menerajui Kementerian Kewangan.

Ranil Wickremesinghe mengangkat sumpah pada lewat Khamis untuk mengemudi negaranya mengharungi kemerosotan ekonomi terburuk dalam sejarah Sri Lanka sebagai sebuah negara merdeka.

Pemimpin berusia 73 tahun itu menegaskan beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mentadbir dan telah mendekati beberapa sekutu berpotensi untuk menyertai pentadbirannya.

(Ranil Wickremesinghe/AFP)

Bagaimanapun, ahli parlimen pembangkang barisan hadapan, Harsha de Silva secara terbuka menolak cadangan untuk mengambil alih Kementerian Kewangan dan sebaliknya berkata beliau akan mendesak kerajaan meletak jawatan.

“Orang ramai tidak meminta permainan politik dan perjanjian, mereka mahu sistem baharu yang akan melindungi masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

De Silva berkata beliau menyertai "perjuangan rakyat" untuk menggulingkan Presiden Gotabaya Rajapaksa dan tidak akan menyokong sebarang penyelesaian politik yang menyebabkan pemimpin itu kekal.

Beliau adalah ahli parti Samagi Jana Balawegaya (SJB), kumpulan pembangkang terbesar di parlimen, yang berpecah sama ada untuk menyokong kerajaan perpaduan tanpa peletakan jawatan Rajapaksa.

Demonstrasi awam besar-besaran selama berminggu-minggu mengutuk Rajapaksa yang dituduh salah tadbir negara dalam krisis itu.

Beratus-ratus masih berada di luar pejabatnya di pinggir ibu negara Colombo sejak sebulan lalu menuntut beliau berundur. -AFP

Media Baharu