SEOUL, 13 Mei - Korea Utara hari ini mengesahkan kes kematian pertama akibat COVID-19.
Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), demam yang tidak dapat dikenal pasti puncanya merebak ke seluruh negara mulai akhir bulan lepas.
"Jenis demam yang tidak dapat dikenal pasti puncanya merebak pantas ke seluruh negara mulai akhir April.
"Enam orang meninggal dunia dan seorang daripada mereka diuji positif sub-varian BA.2 Omicron," katanya.
(Kim Jong Un ketika melawat Markas Kecemasan Pencegahan Epidemik Negara
di Pyongyang, 12 Mei 2022.-REUTERS)
Dengan 25 juta penduduk negara itu tidak diberi vaksin terhadap COVID-19, infrastruktur kesihatan Korea Utara kini bergelut untuk menangani penularan yang besar, kata pakar.
"Pada 12 Mei sahaja, kira-kira 18,000 orang dikesan mengalami gejala demam.
"Sehingga kini, 187,800 telah diasingkan dan sedang menerima rawatan," tambah KCNA.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan mesyuarat tergempar Politbiro pada Khamis dan mengarahkan sekatan di seluruh negara dalam usaha untuk mengekang penyebaran virus itu.
Kim dilaporkan melawat ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negeri dan dimaklumkan tentang penularan COVID-19 di seluruh negara.-AFP