PARIS, 9 Oktober - Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan menamakan Perdana Menteri baharu dalam tempoh 48 jam ekoran tindakan penyandangnya, Sebastien Lecornu meletak jawatan.
Lecornu sebelum itu dalam satu temubual dengan stesen penyiaran French TV memaklumkan, beliau telah menjangkakan Macron akan memilih untuk melantik Perdana Menteri baharu berbanding mengadakan pilihan raya perundangan lebih awal atau melepaskan jawatannya dalam usaha menyelesaikan krisis politik negara itu.
Macron pada Isnin telah memberi Lecornu tempoh sehingga petang Rabu untuk mencari jalan keluar daripada kebuntuan berbulan-bulan berhubung penjimatan belanjawan.
Namun, Lecornu memutuskan untuk meletak jawatan awal Isnin, kurang sebulan selepas memegang jawatan tersebut berikutan pelantikan kabinet pro-Macron yang yang dikritik hebat oleh pihak sayap kiri dan kanan.
"Presiden mengucapkan terima kasih kepada Sebastien Lecornu atas khidmat yang diberikan dalam tempoh 48 jam terakhir ini," menurut Istana Presiden dalam satu kenyataan.
Pelantikan baharu Perdana Menteri dijangka membuka laluan kepada kerajaan untuk membentangkan belanjawan menjelang akhir tahun ini.
Ini termasuk menangani isu hutang negara yang kini mencecah €3.4 trilion, bersamaan 114% daripada KDNK. - AFP