fb fb fb fb fb

55,000 kanak-kanak Gaza alami kekurangan zat makanan akut

Foto AFP

PARIS, 9 Oktober - Hampir 55,000 kanak-kanak di Gaza dilaporkan menderita kekurangan zat makanan akut.

Pendedahan itu dibuat dalam satu kajian dibiayai Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin, (UNRWA) yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet.

Menurut kajian itu, hampir satu perenam kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan akut selepas perang berlarutan selama dua tahun, hingga mengakibatkan kekurangan bekalan makanan yang kritikal di wilayah tersebut.

Dari Januari 2024 hingga pertengahan Ogos lepas, petugas kesihatan UNRWA telah memeriksa hampir 220,000 kanak-kanak bagi mengesan kekurangan zat makanan.

Hasil pemeriksaan mendapati kes kekurangan zat makanan akut telah meningkat secara berterusan, terutamanya selepas tentera rejim mengenakan sekatan bantuan dari Mac hingga Mei 2025.

Data terbaharu yang dilakukan pada Ogos mendapati 15.8% kanak-kanak yang diperiksa mengalami kekurangan zat makanan akut yang boleh menyebabkan penurunan berat badan yang teruk dan membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang yang serius.

Kajian berkenaan diterbitkan selepas PBB pada Ogos mengisytiharkan kebuluran di beberapa bahagian Gaza --satu penemuan dinafikan oleh Israel yang melakukan sekatan bantuan kemanusiaan ke atas wilayah terkepung itu sebagai sebahagian strategi memerangi pejuang Hamas. -AFP

EMMI NORALIZA ADNAN