fb fb fb fb fb

'Kasih sayang dari Gaza', rakyat Palestin sambut gembira perjanjian gencatan senjata

Penduduk Palestin di Khan Yunis bergembira selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata terbaharu di Gaza/ AFP

KHAN YUNIS, 9 Oktober – Penduduk di selatan Gaza bersorak, bertepuk tangan dan menari pada Khamis selepas Hamas dan Israel mencapai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang dua tahun yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Kegembiraan jelas terpancar di luar Hospital Nasser, Khan Yunis, apabila sekumpulan belia melaungkan takbir sambil mengangkat rakan mereka.

Seorang lelaki yang memakai vest media turut diangkat sambil membuat laporan secara langsung menggunakan mikrofon.

“Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan atas gencatan senjata ini, syukur kerana pertumpahan darah dan pembunuhan berakhir,” kata Abdelmajid Abedrabbo, penduduk Gaza selatan.

“Saya bukan satu-satunya yang gembira, seluruh Gaza gembira, seluruh dunia Arab gembira,” tambahnya.

Perjanjian yang ditandatangani pada Khamis itu dijangka membuka jalan bagi pembebasan baki tebusan yang masih hidup dalam tempoh beberapa hari, selain menyaksikan Israel membebaskan ratusan tahanan Palestin serta mempercepatkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Walaupun saya kehilangan sepupu, rakan-rakan, malah datuk tersayang minggu lalu, hari ini saya tetap berasa gembira. Selepas semua penderitaan ini, sekurang-kurangnya perang berakhir.” jelas Ayman al-Najjar.

Perjanjian gencatan senjata itu susulan daripada pelan damai 20 perkara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bulan lalu.

“Alhamdulillah, Presiden Trump telah umumkan perang tamat. Kami amat bersyukur,” kata Wael Radwan.

Khaled Al-Namnam, 26, yang dipindahkan ke Al-Maghzai, mengakui terkejut dengan berita bersejarah itu.

“Tiba-tiba saya bangun pagi dengan khabar yang sungguh indah…perang tamat, bantuan akan masuk, lintasan dibuka. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan selepas dua tahun pengeboman, ketakutan, kebuluran, kini seperti dilahirkan semula.” jelas beliau. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN