fb fb fb fb fb

Sirap ubat batuk tercemar di India: Pemilik syarikat pengeluar ditahan

Foto Reuters

CHENNAI, 9 Oktober - Polis India menahan pemilik syarikat farmaseutikal yang mengeluarkan sirap ubat batuk tercemar, yang dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 21 kanak-kanak.

Menurut polis, G. Ranganathan, 75 tahun ditangkap awal pagi tadi di kediamannya di Chennai.

Media tempatan dan sumber polis melaporkan dia didakwa atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian tanpa niat dan pemalsuan ubat-ubatan.

Ubat yang dijual bawah jenama Coldrif itu dikeluarkan oleh syarikat Sresan Pharma yang berpangkalan di Tamil Nadu.

Kebanyakkan kanak-kanak itu, semuanya berusia bawah lima tahun, meninggal dunia di wilayah Madhya Pradesh sepanjang tempoh bulan lalu selepas diberikan ubat batuk tersebut, yang dicemari dengan bahan toksin yang berbahaya.

Sampel yang diuji Kementerian Kesihatan mendapati ubat batuk itu mengandungi toksin 'dietilena glikol' dalam kuantiti hampir 500 kali ganda melebihi had dibenarkan.

Madhya Pradesh dan beberapa negeri lain telah mengharamkan produk tersebut.

Pada tahun 2022, lebih 70 kanak-kanak maut di Gambia akibat kegagalan buah pinggang akut, selepas mengambil sirap ubat batuk yang diimport dari India.

Di Uzbekistan pula, 68 kanak-kanak meninggal dunia antara 2022 dan 2023 selepas mengambil ubat sirap tercemar yang dikeluarkan di India. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN