JAKARTA, 27 November - Pemilihan kepala daerah, Pilkada Indonesia yang diadakan serentak hari ini (Rabu) diserikan dengan penyertaan artis dan selebriti yang bertanding untuk jawatan penting.
Selepas memilih Presiden pada Februari lalu, seramai 207 juta rakyat Indonesia kembali mengundi untuk memilih 37 gabenor, 93 walikota (datuk bandar) dan 415 bupati atau ketua daerah .
Buat julung kalinya Pilkada diadakan secara serentak di seluruh republik itu selepas undang-undang mengenainya diluluskan pada tahun 2022.
Sistem ini diperkenalkan untuk menyelaraskan pemilihan kepala daerah di semua wilayah, kabupaten, dan kota.
Antara 10 artis yang bersaing dalam Pilkada 2024 ialah penyanyi Krisdayanti yang menawarkan diri bertanding di Pilkada Kota Batu dengan menjadi calon Wali Kota.
Beliau disokong oleh Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Partai Nasional Demokrat (NasDem).
Pelakon Rano Karno yang memegang jawatan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daerah pemilihan Banten III adalah calon Wakil Gabenor DKI Jakarta.
Pada 2015 hingga 2017, Rano menjadi Gabenor Banten
Pelawak Ronal Surapradja pula sebagai calon wakil gabenor Jawa Barat yang turut disokong oleh PDIP.
Pilkada 2024 merupakan cabaran politik pertama bagi Presiden Prabowo selepas memegang jawatan itu pada bulan lalu.
Sekiranya ramai calon yang menyokong Presiden menang, ia akan memudahkan Prabowo menjayakan pelaksanaan dasar-dasar beliau di peringkat tempatan.
Pengundian bermula pada 7.00 pagi waktu tempatan dan berakhir pada 1.00 tengah hari.
Pengiraan kertas undi akan dilakukan sejurus semua pusat mengundi ditutup dan dijangka berterusan sehingga 16 Disember.