fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Taiwan perlu bebas 'campur tangan luar'

Sandra Oudkirk/REUTERS

TAIPEI, 4 Disember- Pilihan Raya Taiwan 2024 mesti bebas daripada "gangguan luar", kata diplomat tertinggi Washington di Taipei pada Isnin.

Dasar Amerika Syarikat (AS) terhadap pulau itu akan kekal sama bagi sesiapa yang menang dalam pilihan raya tersebut.

Presiden Tsai Ing-wen dan pegawai lain memberi amaran kerana China mungkin cuba mempengaruhi pengundi ke arah calon yang boleh menjaga kepentingan dengan Beijing dalam undian presiden dan parlimen pada 13 Januari depan.

Keputusan pilihan raya itu boleh menentukan hubungan Taiwan dengan Beijing.

AS ialah penyokong antarabangsa dan pembekal senjata terpenting kepada Taiwan.

Pengarah Institut Amerika di Taiwan dan duta besar AS secara de facto Sandra Oudkirk berkata, AS mempunyai keyakinan mendalam terhadap proses pilihan raya dan sistem demokrasi Taiwan.

"Kami percaya ia adalah hak pengundi Taiwan untuk memutuskan pemimpin mereka dan perlu bebas daripada campur tangan luar," katanya.

"Seperti yang saya katakan AS tidak memihak dalam pilihan raya Taiwan. Kami tidak mempunyai calon pilihan dalam pilihan raya tersebut," tambah Oudkirk.

"Kami menyokong demokrasi Taiwan dan berharap dapat bekerjasama dengan mana-mana pemimpin yang dipilih oleh pengundi Taiwan dalam Pilihan Raya Taiwan 2024."

Menurut tinjauan pendapat, Lai Ching-te daripada Parti Progresif Demokratik yang memerintah merupakan pendahulu untuk menjadi pemimpin Taiwan seterusnya.

China membenci Lai kerana percaya beliau sebagai pemisah, dan menolak beberapa tawarannya untuk berbincang.

Calon daripada parti pembangkang terbesar Taiwan Kuomintang Hou Yu-ih merupakan saingan kepada Lai.

China sejak empat tahun lalu meningkatkan tekanan ketenteraannya terhadap Taiwan, termasuk mengawasi kawasan berhampiran pulau itu pada tahun lepas.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI