fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Rusia:Nadezhdin dakwa cukup sokongan bagi bertanding

Calon Presiden Rusia, Boris Nadezhdin / Foto Reuters

MOSCOW, 1 Februari - Calon Presiden Rusia, Boris Nadezhdin dilaporkan mengemukakan 105,000 tandatangan sokongan kepada Lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) negara itu pada Rabu.

Tindakan tersebut secara teknikalnya membolehkan Nadezhdin bertanding sekali gus mencabar penyandang jawatan, Vladmir Putin pada pilihan raya yang bakal diadakan pada Mac depan.

Ketika di CEC, Nadezhdin memberi isyarat berhubung keinginannya bagi bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

"Saya tidak menjangkakan akan mendapat sokongan seperti ini", kata Nadezhdin merujuk kepada kejayaannya mendapatkan tandatangan yang dianggap penting bagi dibawa ke ibu pejabat CEC di sini.

Nadezhdin turut menekankan bahawa tandatangan yang berjaya dikumpulkan adalah hanya di dalam Rusia dan menepati peraturan dan tidak termasuk dengan tandatangan yang di dapati dari luar Rusia.

Tambahnya, kempen pilihan rayanya telah ditaja oleh kira-kira 10,000 penderma yang terdiri dari golongan rakyat biasa.

Sebagai individu yang dicalonkan oleh sebuah parti politik, Nadezhdin memerlukan sebanyak 100,000 tandatangan di 40 wilayah Rusia dalam usaha bagi melayakkannya bertanding pada pilihan raya yang dijadualkan pada 15 hingga 17 Mac depan.

Penyandang jawatan, Vladmir Putin dilaporkan memilih untuk bertanding sebagai calon bebas berbanding sebagai calon Parti Rusia Bersatu yang memerlukannya mendapatkan 300,000 tandatangan.

Presiden Rusia itu kini telah berjaya meraih kira-kira 3.5 juta tandatangan menurut para penyokongnya.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD