fb fb fb fb fb

Jumlah kematian di Gaza terus meningkat, cecah 26,637 orang

Foto AFP

GAZA, 31 Januari- Jumlah kematian melibatkan rakyat Palestin akibat serangan rejim Zionis di Gaza terus meningkat.

Data baharu menunjukkan 26,637 orang dilaporkan telah terkorban.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dalam tempoh kurang 48 jam lalu, tentera negara haram Israel telah membunuh 215 dan mencederakan 300 rakyat Palestin.

Lebih 65,000 orang cedera sejak konflik berlaku.

Dalam pada itu, agensi berita Palestin, WAFA melaporkan bahawa berpuluh-puluh wanita dan kanak-kanak telah melarikan diri dari tempat perlindungan UNRWA di Bandar Gaza selepas ia diserbu oleh tentera Israel.

Sementara itu, 11 kanak-kanak Palestin yang cedera antara kumpulan pertama tiba di Itali dari Gaza.

Mereka diiringi anggota keluarga untuk menerima rawatan perubatan lanjut di hospital-hospital Itali.

Duta Palestin ke Itali, Abeer Odeh menekankan bahawa inisiatif kemanusiaan Itali dengan menyediakan rawatan kepada lebih seratus kanak-kanak Palestin, perlu saling dilengkapi dengan langkah-langkah berkesan dan pendirian politik yang jelas.

Ia termasuk mendesak Israel untuk menghentikan tindakannya terhadap rakyat Palestin dengan segera dan mengiktiraf negara Palestin.

Menurut duta itu, bilangan penduduk Gaza yang cedera sejak 7 Oktober lepas telah melebihi 67,000 orang yang membuktikan kekejaman Israel.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM