fb fb fb fb fb

Pilihan raya Lubnan: Hizbullah, sekutu hilang majoriti di Parlimen

BEIRUT, 17 Mei- Keputusan pilihan raya Lubnan menyaksikan Hizbullah yang disokong Iran, bersama sekutunya hilang majoriti di Parlimen, berdasarkan kiraan akhir Reuters hari ini.

Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada kumpulan bersenjata itu, selain turut menggambarkan kemarahan terhadap elit pemerintah Lubnan.

Gerakan Syiah itu bersama sekutunya menang kira-kira 62 daripada 128 kerusi Parlimen dalam pilihan raya Ahad lalu, berbanding 71 kerusi majoriti yang dimenangi dalam pilihan raya 2018.

Dalam pilihan raya pertama sejak keruntuhan ekonomi Lubnan dan letupan pelabuhan Beirut pada 2020, pendatang baharu politik yang membawa agenda reformasi, menang 12 kerusi, iaitu pencapaian luar biasa dalam sistem yang dikuasai kumpulan sama sejak sekian lama.

Penentang Hizbullah termasuklah kumpulan Kristian, Angkatan Lubnan yang sealiran dengan Arab Saudi, turut mendapat sokongan, dan mendakwa menumpaskan sekutu Hizbullah, Gerakan Patriotik Bebas (FPM) yang juga parti Kristian terbesar.

Keputusan itu menyebabkan Parlimen berpecah kepada beberapa kem, dengan tiada satu pun mendapat majoriti, menyebabkan kemungkinan kelumpuhan politik dan ketegangan, yang berisiko menangguhkan reformasi untuk membawa Lubnan keluar daripada keruntuhan ekonomi.


(Menteri Dalam Negeri Lubnan,  Bassam Mawlawi bercakap semasa sidang akhbar mengenai pilihan raya Parlimen Lubnan, di Kementerian Dalam Negeri di Beirut, Lubnan/ AP)

Dalam beberapa keputusan mengejutkan, pendatang baharu politik menewaskan ahli politik Druze yang sealiran Hizbullah, Talal Arslan, yang juga pewaris dinasti politik tertua Lubnan.

Sekutu utama Hizbullah lain yang turut kehilangan kerusi termasuklah ahli politik Sunni, Faisal Karami, yang juga daripada keluarga dinasti politik Lubnan.

Meskipun pilihan raya 2018 merapatkan Lubnan dalam kalangan negara Syiah diketuai Iran, keputusan terbaharu itu mungkin membuka peluang untuk Arab Saudi memperkukuh pengaruh di Lubnan, yang sejak sekian lama menjadi medan persaingan negara serantau dengan Iran. - REUTERS

 

 

Media Baharu