(FOTO REUTERS)
CHANGI, 17 Mei - Dasar COVID Sifar yang dilaksanakan oleh China akan menghalang pemulihan sepenuhnya sektor penerbangan di rantau Asia-Pasifik.
Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh berkata, pemulihan sektor yang sudah agak perlahan, akan menjadi lebih suram berikutan tindakan Beijing itu.
"Dua tahun lepas adalah tempoh yang sukar bagi syarikat penerbangan. Tetapi kami melihat tanda-tanda pemulihan sekarang.
"Malangnya, pemulihan rantau Asia-Pasifik akan ketinggalan disebabkan gara-gara strategi China untuk terus mengejar COVID Sifar," katanya dalam persidangan penerbangan di Singapura.
(Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh/REUTERS)
Keputusan China untuk kekal dengan COVID Sifar telah meletakkannya bertentangan dengan banyak negara di Asia yang telah mula membuka semula sempadan dan menggugurkan keperluan kuarantin dan ujian saringan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. -AFP