fb fb fb fb fb

Trak, kapal dipenuhi gandum terkandas di Pelabuhan India

AHMEDABAD, 17 Mei- Ratusan ribu tan gandum terkandas di sebuah pelabuhan utama di India hari ini, selepas New Delhi melarang eksport produk itu berikutan kebimbangan terhadap inflasi dan keselamatan makanan.

Minggu lalu, India, negara pengeluar gandum kedua terbesar dunia, menetapkan peniaga tidak boleh lagi memeterai perjanjian baharu eksport tanpa mendapat kelulusan kerajaan.

Pengumuman mengejut itu menyebabkan situasi kucar-kacir di pelabuhan Kandla di Gujarat, di mana kira-kira 4,000 trak terkandas di bahagian luar, kata pengendali pelabuhan.

Empat kapal yang dipenuhi separuh muatan sekitar 80,000 tan gandum turut berlabuh di situ.

Pengendali pelabuhan berkata, trak yang tiba sebelum 13 Mei, tarikh pengumuman larangan eksport, dibenarkan memuat naik gandum ke kapal untuk dibawa ke negara lain termasuk Mesir dan Korea Selatan di bawah perjanjian sebelum ini.

"Bagaimanapun, trak yang dipenuhi gandum yang tiba ke pelabuhan selepas 13 Mei terpaksa berpatah balik dengan komoditi itu," kata jurucakap pengendali Badan Amanah Pelabuhan Deendayal, Om Prakash Dadlani.


(Ratusan ribu tan gandum terkandas di sebuah pelabuhan utama di India selepas New Delhi melarang eksport produk itu berikutan kebimbangan terhadap inflasi dan keselamatan makanan/ AFP)

Dewan Perdagangan Gandhidham menganggarkan kira-kira 400,000 tan gandum dari Punjab, Haryana, Madhya Pradesh dan negeri lain yang menanam gandum, terkandas.

Presiden Dewan Perdagangan Gandhidham, Teja Kangad, berkata antara 500 hingga 700 gudang berhampiran pelabuhan dipenuhi dengan gandum untuk dieksport.

Katanya, kerajaan sepatutnya memberikan notis awal sebelum mengumumkan larangan berkenaan.

"Ini menyebabkan situasi kucar-kacir dan menyebabkan ketidaktentuan pada trak dan peniaga dan tidak tahu apa akan jadi pada barangan. Gandum juga tidak boleh disimpan lama," katanya. - AFP

Media Baharu